top of page

Salah faham punca warga asing serbu Rumah Prihatin

SALAH faham mengenai RumahPrihatin@GrandSeasons menyediakan perkhidmatan vaksinasi secara daftar terus (walk-in) untuk bukan warga negara menjadi punca ia diserbu golongan itu pagi ini.


Dalam satu kenyataan, RumahPrihatin berkata, perkhidmatan vaksinasi untuk warga asing secara daftar terus adalah di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Bukit Jalil.


“Ekoran daripada salah faham itu, golongan itu telah datang ke RumahPrihatin dan mengakibatkan “rush crowd” yang luar biasa berlaku di luar jangkaan pengurusan dan penguatkuasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Kata kenyataan itu lagi, pada peringkat awal, pihak RumahPrihatin telah mengambil tindakan bersama dengan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi menyuraikan keadaan.


“Warga asing ini tetap tidak mahu bersurai walaupun telah diberikan arahan dan amaran dan keadaan kembali diperbetulkan dengan bantuan PDRM dan DBKL,” katanya.


Menurut kenyataan itu, program vaksinasi ini diuruskan oleh Rumah Prihatin di bawah Program Vaksinasi MyMedik@Wilayah dan ia tidak melibatkan pihak-pihak lain.


“Pihak RumahPrihatin kesal dengan apa yang terjadi dan akan meningkatkan lagi pematuhan prosedur operasi standard (SOP), dengan bantuan pihak berkuasa bagi memastikan kejadian ini tidak berulang lagi.


“Kami menegaskan bahawa Rumah Prihatin hanya menerima pendaftaran terus untuk warganegara Malaysia sahaja, dengan keutamaan kepada golongan warga emas, orang kelainan upaya, kelompok terpinggir dan golongan rentan sahaja,” katanya.


Terdahulu visual yang berdurasi 7 minit 15 saat yang tular di media sosial menunjukkan orang ramai sedang beratur dan mengabaikan Prosedur Operasi Standard (SOP).


Dalam perkembangan sama, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, pihaknya telah mengambil tindakan segera dengan mengarahkan pasukan pematuhan ke pusat terbabit bagi mengawal keadaan.


“Hebahan dibuat kepada orang ramai yang hadir supaya membuat penjarakan sosial dan memakai pelitup muka sebagaimana prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).


“Pasukan pematuhan berjaya mengawal keadaan sehingga program vaksinasi selesai,” katanya dalam satu kenytaan.


Noor Dellhan berkata, pihak polis memohon kerjasama daripada orang ramai supaya terus mematuhi SOP yang dikeluarkan MKN.


“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan perlanggaran SOP ini boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di talian 03-26002222 atau hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis yang berhampiran,” katanya. -WILAYAHKU

 
 
 

Comments


Featured Posts
Recent Posts
Search By Tags
Follow Us
  • Facebook Classic
  • Twitter Classic
  • Google Classic

YAYASAN WILAYAH PERSEKUTUAN

Wisma YWP, No. 134, Jalan Raja Abdullah, Kampong Bharu, 50300 Kuala Lumpur

Tel : +603 2698 3073 / 2073 | Faks :+603 2698 3075 | WhatsApp : +6019-3483073

Email: info@yayasanwp.org.my

www.yayasanwp.org.my

bottom of page