top of page

Rezeki tidak disangka - Penerima

SUMBANGAN makanan yang diedarkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sekitar pukul 12 tengahari pastinya berjaya mengukir senyuman pada wajah pengguna-pengguna transit aliran ringan (LRT).


Seperti yang dilaksanakan di Stesen LRT Kerinchi Kuala Lumpur pada Selasa lalu, rata-rata pengguna yang menerima sumbangan sejurus tiba di stesen tersebut menzahirkan rasa syukur dan gembira kerana mereka belum menikmati hidangan tengah hari disebabkan kesibukan kerja selain kekangan kewangan.


Malah ada yang menganggapnya sebagai rezeki tidak disangka.


Bagi T Tanasegasen, 26, dia bersyukur kerana turut menerima sumbangan makanan berkenaan sejurus keluar dari gerabak LRT.


Katanya, tindakan tersebut wajar diteruskan dan dilaksanakan secara berkala kerana dapat membantu masyakarat yang dalam kesusahan.


“Satu perkara yang baik. Saya juga rasa bersyukur kerana mendapat sumbangan ini dalam keadaan bergegas untuk masuk kerja dan masih belum makan,” kata pekerja khidmat pelanggan J&T Express.


Menurut Sofea Aminudin pula, makanan yang diterimanya itu juga agak ‘mewah’ kerana mempunyai dua jenis lauk dan disertakan dengan buah-buahan seperti saranan pakar pemakanan seimbang.


Anak gadis berusia 23 tahun ini juga menzahirkan rasa terima kasih dengan rezeki yang tidak disangka itu kerana dia belum menikmati hidangan tengah hari selepas menghadiri temu duga kerja.


Turut menzahirkan rasa syukur dan berterima kasih, Zulhelmi Mohd Fauzi, 27, yang menerima sumbangan makanan ketika menunggu ketibaan tren di stesen berkenaan.


“Saya berterima kasih dengan sumbangan nasi kerana ia menjimatkan perbelanjaan hari ini (28 September),” katanya yang dalam perjalanan dari Pasar Seni ke SS15


Sementara itu, Pengarah Eksekutif Rumah Prihatin, Datuk Mohd Irwan Rizal Mohd Ali Hanapiah berkata, sumbangan makanan daripada Dapur Prihatin akan diagihkan secara ‘out-reach’ selaras dengan saranan pengasasnya, Tan Sri Annuar Musa yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia.


Jelasnya, sepanjang tempoh pengoperasian yang memasuki usia dua bulan itu, lebih 50,000 penerima mendapat manfaat dan mereka terdiri daripada pelbagai kaum serta

latar belakang.


Mengulas tentang perubahan Fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN), beliau berkata, Dapur Prihatin adalah entiti yang fleksibel dan sentiasa berubah mengikut masa.


“Jadi untuk fasa kedua dan ketiga, kita sudah mendapat pandangan sama ada perlu teruskan dengan inisiatif out-reach atau adakah Dapur Prihatin boleh dibuka kepada orang ramai untuk makan di Rumah Prihatin.


“Perkara ini kita perhalusi dan sekarang sedang mendapatkan pandangan serta kelulusan daripada MKN (Majlis Keselamatan Negara) kerana usaha untuk membantu perlu seiring dengan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP),” katanya sambil menambah pihaknya bersedia mewujudkan Dapur Prihatin luar daripada Rumah Prihatin namun ia haruslah selaras dengan kesesuaian semasa dan permintaan di kawasan atau parlimen tertentu.

Comments


Featured Posts
Recent Posts
Search By Tags
Follow Us
  • Facebook Classic
  • Twitter Classic
  • Google Classic
bottom of page