Jejak Prihatin kurangkan beban rakyat – Izzue Islam
ANTARA komponen penting di RumahPrihatin@GrandSeasons adalah Pusat Gerakan Jejak Prihatin.
Program Jejak Prihatin ini adalah usaha mencari golongan-golongan terkesan dari pintu ke pintu untuk untuk dihulurkan bantuan.
Usaha ini dilakukan oleh Sukarelawan Wilayah Prihatin (PriVo), Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan Majlis Perwakilan Penduduk (MPP).
Bagi artis serba boleh Izzue Islam,31, Jejak Prihatin ini dapat mengesan lebih ramai mereka yang tidak berkemampuan atau tidak cukup bekalan makanan.
“Dalam masyarakat kita, tidak semua yang berani tampil menyatakan kesusahan mereka. Apatah lagi sebelum ini mereka mampu hidup tanpa bantuan kerana mempunyai pendapat sendiri.
“Jadi, apabila kehilangan sumber pendapatan dan simpanan semakin susut, hidup mereka sekeluarga makin susah sehingga tidak cukup makan.
“Apabila difikirkan-fikirkan, memang sedih kerana mereka bukan sengaja untuk hidup susah tetapi situasi pandemik ini menguji mereka.
“Dengan adanya program Jejak Prihatin ini, golongan yang betul-betul memerlukan bantuan makanan dapat dikesan dengan mudah dan hidup mereka lebih terjamin.
“Ini secara tak langsung, Jejak Prihatin ini mengurangkan beban hidup serta rasa stres yang ada dalam diri.
"Walaupun bantuan makanan tidak boleh menyelesaikan masalah mereka sepenuhnya, sekurang-kurangnya bantuan ini dapat meringankan dugaan hidup yang dihadapi,” jelas Izzue Islam yang popular dengan lagu Sahabat dan Bimbang.
RumahPrihatin@GrandSeasons, Kuala Lumpur yang dilaksanakan baru-baru ini ditubuhkan bagi membantu meringankan beban rakyat terutamanya warga wilayah yang terkesan akibat pandemik COVID-19.
Kementerian Wilayah Persekutuan dan Yayasan Wilayah Persekutuan bekerjasama dengan Hotel Grand Seasons Kuala Lumpur menjadikan premis ini berkonsepkan hotel kebajikan.
Comentários